PERAYAAN HARI GAWAI
Negeri Sarawak merupakan salah sebuah
negeri yang dihuni oleh pelbagai kaum dan etnik. Negeri Sarawak dihuni oleh
kira-kira 27 pecahan kumpulan etnik yang terdiri daripada pelbagai kaum
antaranya kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Murut, Lun Bawang, Kenyah, Kelabit,
Kayan, Penan, Melayu, Melanau dan banyak lagi. Kaum majoriti di Sarawak adalah
kaum Iban. Kaum Iban mempunyai keunikan serta tradisi dan pantang larang yang
tersendiri. Kelebihan inilah yang membuatkan kaum Iban ini merupakan antara
kaum yang unik di Sarawak. Keunikan ini dapat dilihat dari segi perayaan, corak
hidup dan pantang larang mereka. Perayaan yang disambut oleh kaum Iban adalah
perayaan Hari Gawai Dayak.
Perayaan Hari Gawai Dayak
ini disambut oleh kaum Iban dan kaum Bidayuh. Perayaan Hari Gawai Dayak ini
disambut untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Perayaan Hari Gawai ini
disambut pada akhir bulan Mei dan awal bulan Jun iaitu pada tarikh 31 Mei
hingga 2 Jun. Kebiasaannya, pada malam 31 Mei merupakan malam ambang Hari Gawai
Dayak. Pada malam 31 Mei, ahli keluarga biasanya akan berkumpul di rumah
panjang untuk meraikan perayaan tersebut bersama-sama sambil menunggu detik 12
malam[1]. Perayaan Gawai Dayak
merupakan perayaan yang bersifat umum yang boleh diraikan oleh mana-mana
keturunan Dayak tampa mengira agama.
Perayaan Gawai Dayak
boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu Gawai Batu, Gawai Benih, Gawai
Burung, Gawai Mimpi, Gawai Kenyalang, Gawai Pangkung Tiang, Gawai Tuah, Gawai
Antu dan Gawai Lelabi. Antara perayaan Gawai yang selalunya diraikan oleh kaum
Dayak adalah seperti perayaan Gawai Burung iaitu sejenis perayaan gawai yang
bertujuan untuk menyembah dan memuja Sengalang Burung iaitu merupakan seorang
dewa peperangan dan pertahanan. Selain Gawai Burung, masyarakat Dayak juga
turut menyambut perayaan Gawai Antu yang mana merupakan perayaan terakhir untuk
memberi penghormatan kepada roh-roh yang telah meninggal dunia supaya mereka
aman.
Perayaan Hari Gawai Dayak
ini disambut dengan meriah dan perayaan ini akan lebih meriah apabila disambut
di rumah panjang. Biasanya perayaan Gawai ini disambut dengan persembahan
tarian atau ‘Betanda”. Selain itu semasa Hari Gawai kaum Iban juga turut
mempersembahkan tarian tradisi mereka yang dipanggil sebagai Tarian Ngajat.
Selain itu, terdapat sejenis minuman tradisi yang selalu diminum semasa
perayaan Hari Gawai iaitu sejenis minuman yang dikenali sebagai ‘Air Tuak’. ‘Air
Tuak’ ini merupakan minuman yang dibuat sendiri oleh kaum-kaum Iban. Air Tuak
merupakan sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan[2]. Air Tuak yang popular
dalam kalangan masyarakat Dayak ialah Tuak Beras. Tuak Beras ini diperbuat
daripada sejenis beras iaitu Beras Pulut. Untuk menghasilkan Air Tuak ini,
Beras Pulut ini akan direndam di dalam bekas yang dipanggil ‘Tajau’. Beras
Pulut tersebut akan direndam sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ianya boleh
diminum. Untuk menambahkan lagi rasa air tersebut, Air Tuak tersebut dicampur
dengan gula pasir supaya rasanya lebih manis. Selain daripada minuman ‘Air
Tuak’ yang dihidangkan semasa perayaan Hari Gawai, hidangan daging babi juga
turut dihidangkan semasa perayaan ini. Ini kerana hidangan daging babi
merupakan hidangan turun-temurun masyarakat dayak. Selain daging babi, hidangan
daging ayam juga turut dihidangkan kepada tetamu semasa perayaan Gawai ini.
Perayaan Gawai Dayak ini dianggap sebagai perayaan utama di negeri Sarawak
kerana majoriti penduduk yang mendiami negeri Sarawak tersebut terdiri daripada
kaum-kaum dayak.
[1] JKKN, Malaysian Festivals (Ministry
of Culture, Arts and Heritage Malaysia (KEKKWA), 2007) hal. 60
[2] JKKN, Malaysian Festivals (Ministry
of Culture, Arts and Heritage Malaysia (KEKKWA), 2007) hal. 61-62